Penjaja kesal diarah pindah di tapak ‘kosong’
BATANGKALI – PENIAGA kecil dan penjaja di Jalan Meranti 2, di sini menggesa pihak berkuasa tempatan (PBT) mempertimbangkan rayuan mereka untuk tidak dipindahkan ke tapak baru di Kawasan Pasar Malam Jalan Ara sehingga penyediaan prasarana di kawasan tersebut disiapkan sepenuhnya.
Gesaan itu dibuat susulan tindakan pihak Majlis Perbandaran Hulu Selangor (MPHS) mengeluarkan notis pemindahan serta merta kepada peniaga sedangkan tapak pasar malam itu masih belum sedia untuk digunakan.
Menurut Pengerusi Persatuan Usahawan Bandar Utama Batang Kali, Hasrull Fazrieqin Shadiqin, 35, kesemua peniaga di Jalan Meranti 2 tidak mempunyai halangan untuk berpindah, malah mereka bersedia berbuat demikian asalkan kemudahan asas di tapak baru dapat disiapkan segera.
“Arahan sangat jelas notis pemindahan telah diberi sejak April tahun 2022 lagi, tapi masa itu bulan puasa jadi kami minta tangguh sehingga Oktober 2022.
“Tapi pada Oktober, kemudahan asas seperti lampu, tandas, surau dan tong sampah masih belum disediakan. Kami minta ditangguh sekali lagi sehingga Februari tahun ini.
“Malangnya, kami sekali lagi mendapat notis supaya berpindah ke sini walaupun keadaannya masih sama, tiada lampu, tandas dan surau. Hanya tempat pembuangan sampah telah disediakan,” katanya kepada @Wide Media TV ketika ditemui di Kawasan Pasar Malam Jalan Ara semalam.
Menurut Hasrull, terdapat 60 peniaga berdaftar di bawah persatuan itu dan kebanyakan mereka terdiri daripada ibu tunggal dan anak muda.
Peniaga popia, Nurul Syazwany Baharuddin, 30, berkata, pendapatannya bergantung sepenuhnya dengan jualan popia dan dia perlu memastikan hasil yang sama dapat diperoleh sekiranya berpindah ke lokasi baru.
Menurutnya, pendapatannya akan terkesan sekiranya berpindah ke tapak baru secara tiba-tiba.
“Sebagai peniaga agak kecewa juga bila diminta berpindah sebab tanggapan kami adalah prasarana yang selesa (bukan saja untuk berniaga) untuk solat.
“Malam pula sangat gelap. Hari ni pun bila datang sini tengok… alaaa… (macam tak dapat terima keadaan dan suasana begini).
“Sekurang-kurangnya sediakan lampu pun sudah memadai dan lain-lain tu kita masih boleh tunggu,” katanya yang bimbang dengan keselamatan peniaga serta pengunjung jika persekitaran gelap.
Sementara itu, Ahli Majlis MPHS Zon 12, Tan Lai Zhen berkata, perkara tersebut akan dibawa ke dalam mesyuarat pada 7 Februari ini untuk dibincangkan dan mendapatkan penyelesaian sewajarnya.
“Kami akan bangkitkan masalah yang disuarakan penjaja di sini di dalam mesyuarat nanti.
“Harapan saya keputusan MPHS dapat memenuhi permintaan dan kepeluan penduduk (penjaja) di kawasan ini dan menyediakan infra yang cantik di sini supaya lebih meriah lagi,” katanya mengulas isu tersebut.
Beliau juga berharap peniaga kecil dan penjaja dapat menjalankan perniagaan secara berkelompok di tapak baru setelah infrastruktur asas disediakan dan tidak lagi menjaja di merata-merata kawasan.
Terdahulu, lawatan ke Kawasan Pasar Malam Jalan Ara itu turut dilakukan bersama Ahli Majlis Zon 13, S Chiniiah dan Ahli Majlis Zon 22, P Puvanesvaran serta Pengurus Pusat Khidmat Rakyat Penyelaras DUN Batang Kali, Shah Ikram.
Tamat.