YAB PERDANA MENTERI MERIAHKAN PEMENTASAN TEATER SIRIH BERTEPUK PINANG MENARI
KUALA LUMPUR, 30 November 2024 – Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya(MOTAC) melalui Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur bersama Pertubuhan Rumpun Seni Mekar Budaya (Mekar Budaya) dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) telah melaksanakan pementasan teater “Sirih Bertepuk Pinang Menari’ bermula pada 29 & 30 November 2024 serta 1 Disember 2024 jam 8.30 malam di Auditorium, Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur.
Pementasan Sirih Bertepuk Pinang Menari mencatatkan sejarah tersendiri apabila turut dihadiri oleh YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim, Perdana Menteri. Selain YAB Perdana Menteri, turut serta adalah YBhg. Tan Sri Shamsul Azri bin Abu Bakar, Ketua Setiausaha Negara, Encik Mohd Amran bin Mohd Haris, Ketua Pengarah, Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara, Kementerian Pelancongan Seni dan Budaya, YBhg. Sasterawan Negara Datuk Dr. Anwar Ridhwan, Pengerusi Lembaga Pengelola, Dewan Bahasa dan Pustaka dan tetamu kenamaan lain.
Pementasan ini adalah di bawah Siri Karya Seni dan Sastera Negara 2024 Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) yang bertujuan memartabatkan seni, budaya, bahasa dan sastera kebangsaan. Selain itu,
objektif utama program ini juga adalah untuk menyemarakkan karya seni, sastera, teater warisan dan karya agung serta dalam masa sama memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan serta turut memperkenalkan semula naskhah Sirih Bertepuk Pinang Menari karya Sasterawan Negara (SN) Datuk Noordin Hassan untuk tontonan generasi muda, dalam bentuk yang lebih popular.
Dikenali sebagai “Datuk Drama dan Cikgu Drama”, SN Datuk Noordin Hassan adalah seorang tokoh drama terawal membawa masuk corak eksperimental dalam kegiatan teater di Malaysia seawal 1969. Pemikiran-pemikiran dalam drama beliau memberikan refleksi yang kuat terhadap iklim sosio politik negara.
Tidak ramai dramatis tempatan yang berhasil mengolah sebuah konsep sendiri menerusi penulisan dan amalan dramanya, namun SN Datuk Noordin Hassan adalah dramatis berwibawa yang telah membuktikannya. Justeru, program ini berhasrat mengangkat ketokohan SN Datuk Noordin Hassan, memperkenalkannya semula kepada generasi muda, memberikan tumpuan kepada jasa beliau yang berhasil meraih anugerah Sasterawan Negara menerusi karya-karya drama pentasnya.
Sepanjang penglibatannya sebagai penulis dan pengarah drama, beliau telah menghasilkan lebih 30 puluh buah drama. Antara karya SN Datuk Noordin Hassan yang terkenal ialah Bukan Lalang Ditiup Angin, Peran, Anak Tanjung, Jangan Bunuh Rama-rama, Cindai, Sirih Bertepuk Pinang Menari, Tiang Seri Tegak Berlima, dan Mana Setangginya.
Pementasan Sirih Bertepuk Pinang Menari yang berlangsung selama tiga (3) hari ini menghimpunkan seramai 22 orang pelakon terdiri daripada kombinasi pelakon lama dan baharu antaranya Dato’ Ahmad Tarmimi Siregar, Jay Iswazir, Akmal Ahmad, Farhana Fahizam, Eliza Mustafa, Azman Hassan, Haf Dzi Sofi, Shasha Fairus dan lain-lain.
Sirih Bertepuk Pinang Menari arahan Dr Marlenny Deenerwan ini, mengisahkan mengenai Sultan Idris Bistari belayar ke luar negeri dan menyerahkan kuasa pemerintahan Indera Mahkota kepada anakandanya Putera Zahiruddin Shah. Sebaik baginda Sultan berangkat, Zahiruddin Shah terus memecat Memanda Wazir atas alasan beliau telah tua dan perlu berehat. Baginda kemudiannya melantik Wazir yang baru. Sultan Idris Bistari sampai ke negeri Langkapura yang diperintah oleh Ratu Salbiah yang kematian suami akibat dibunuh oleh lanun yang menyerang negeri itu kerana kaya dengan emas.
Sementara itu, Zahiruddin Shah telah merancang untuk meminang Puteri Kamaliah, anak Ratu Salbiah. Sekiranya ditolak pula, kerajaan negeri Langkapura hendaklah menghadiahkan kepada baginda ‘Sirih Bertepuk Pinang Menari’. Ratu Salbiah bercadang mahu menolak peminangan itu tetapi tidak tahu di mana hendak mendapatkan sirih bertepuk pinang menari itu. Sebenarnya Zahiruddin Shah juga tidak mengetahui apakah makna Sirih Bertepuk Pinang Menari itu. Baginda hanya memetik saja kata-kata daripada ayahandanya sebelum baginda belayar dahulu.
“Jabatan ini akan terus memberi sokongan kepada para penggiat seni terutamanya dalam mengangkat naskhah agung melalui platform seni dan budaya. JKKN juga amat berterima kasih kepada YAB Perdana Menteri yang telah meluluskan dana untuk pementasan karya seni dan sastera negara di JKKN seluruh Malaysia. Pementasan karya agung akan memartabatkan seni, budaya, bahasa dan sastera kebangsaan. Ia juga memberi peluang kepada JKKN dan NGO seni budaya untuk mengetengahkan karya seni negara, mempergiatkan persembahan teater warisan serta memupuk minat membaca karya agung dalam kalangan generasi muda.” ulas Mohd Amran bin Mohd Haris, Ketua Pengarah JKKN dalam kenyataannya hari ini