KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Gopeng, Tan Kar Hing menegaskan bahawa pemilihan Datuk Bandar melalui pilihan raya tempatan seharusnya dilihat sebagai medan menilai kecekapan kepimpinan, bukannya dipersempitkan kepada sentimen kaum dan agama.
Beliau berkata, pengalaman kota-kota besar dunia seperti New York dan London membuktikan bahawa pengundi matang dalam membuat keputusan, dengan memilih calon berdasarkan kemampuan mentadbir dan mempertahankan kepentingan rakyat.
Menurutnya, Zohran Kwame Mamdani yang mula berkhidmat sebagai Datuk Bandar New York pada Januari 2026 dipilih oleh majoriti pengundi walaupun populasi Muslim di kota itu sekitar 10 peratus. Manakala di London, Sadiq Khan telah menyandang jawatan Datuk Bandar sejak 2016 di sebuah bandar raya yang kira-kira 15 peratus penduduknya beragama Islam.
“Dalam kedua-dua kes ini, majoriti pengundi memilih calon daripada kelompok minoriti, membuktikan bahawa keputusan tidak dibuat berdasarkan warna kulit atau agama semata-mata, sebaliknya pada kualiti kepimpinan,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Tan Kar Hing berkata, melalui mekanisme pilihan raya tempatan, Datuk Bandar bertanggungjawab secara langsung kepada pengundi di peringkat akar umbi dan bukannya tertakluk sepenuhnya kepada arahan kepimpinan tertinggi parti politik.
Beliau menambah, demokrasi tidak menjamin calon terbaik akan dipilih, namun ia memastikan Datuk Bandar yang dilantik adalah pilihan majoriti rakyat dan sentiasa terdorong untuk menunjukkan prestasi terbaik demi mengekalkan sokongan pengundi.
Mengulas situasi di Kuala Lumpur, beliau menyifatkan naratif yang memainkan ketakutan kononnya ibu negara akan dikuasai parti atau kaum tertentu sekiranya pilihan raya Datuk Bandar diadakan sebagai tidak berasas.
“Struktur kaum di Kuala Lumpur sendiri agak seimbang. Tambahan pula, pengundi tidak semestinya membuat keputusan berdasarkan kaum dan agama, sebaliknya menilai dasar perancangan bandar serta keberkesanan pelaksanaannya,” katanya.
Menurut beliau, kegagalan perancangan bandar seperti pengurusan banjir kilat memberi kesan kepada semua penduduk tanpa mengira kaum dan agama, justeru isu tadbir urus wajar menjadi keutamaan dalam pemilihan kepimpinan bandar.
Tan Kar Hing turut menyifatkan sebagai ironik apabila negara seperti United Kingdom dan Amerika Syarikat memanfaatkan sepenuhnya pilihan raya Datuk Bandar untuk menampilkan pemimpin Muslim yang berdaya saing dari segi kecekapan pentadbiran, manakala di Malaysia, idea yang sama ditentang dengan sentimen sempit dan ketakutan kehilangan kuasa.
“Pemimpin politik seharusnya memimpin dan membawa bangsanya ke hadapan, bukan memundurkan masyarakat dengan menanam ketakutan kerana kegagalan bersaing dari segi kecekapan,” tegasnya.
Beliau menambah, rakyat tidak wajar disekat langkah kemajuan mereka hanya kerana naratif ketakutan yang dimomokkan demi kepentingan politik sempit.



