KUALA LUMPUR, 11 Mac – Penyanyi Heyda Hafeey kembali mewarnai industri muzik tempatan dengan memperkenalkan versi baharu lagu ikonik “Zapin Usik Mengusik” menerusi kolaborasi bersama penyanyi rock popular, Lan Solo.
Lagu yang pernah mencetuskan fenomena pada penghujung 1990-an itu kini tampil dengan susunan muzik baharu yang menggabungkan elemen tradisional zapin dengan sentuhan muzik moden.
Menurut Heyda, lagu tersebut mempunyai nilai sentimental yang besar dalam perjalanan kerjayanya kerana ia merupakan karya yang membuka laluan buat dirinya memasuki industri muzik Malaysia ketika masih berusia 17 tahun.

“Hampir 28 tahun lagu ini bersama saya. Ia merupakan karya yang memperkenalkan saya kepada industri muzik tempatan sebelum saya tampil dengan karya lain. Oleh itu, saya merasakan versi baharu ini adalah cara terbaik untuk menghidupkan kembali nostalgia lagu tersebut,” katanya ketika ditemui pada sidang media pelancaran lagu berkenaan di sini.
Tambahnya, ramai pendengar sebenarnya lebih mengenali lagu tersebut melalui kumpulan komedi terkenal negara, Senario, yang pernah mempopularkannya.
Namun menurut Heyda, perkara itu tidak menjadi isu kerana baginya sebuah lagu yang baik akan terus hidup dan dikenang oleh masyarakat walaupun masa berlalu.
Versi baharu lagu ciptaan Budien dengan lirik oleh Naz itu digubah semula oleh pemuzik berpengalaman Dato Indra dengan konsep etnik fusion, iaitu gabungan instrumen tradisional Melayu dengan elemen muzik moden yang lebih segar.

Sementara itu, Lan Solo berkata beliau pada awalnya agak ragu-ragu untuk menerima pelawaan berduet kerana merasakan lagu tersebut sudah cukup sinonim dengan Heyda.
Bagaimanapun, beliau akhirnya bersetuju selepas melihat kesungguhan penyanyi tersebut untuk menghidupkan semula karya klasik berkenaan dalam bentuk yang lebih segar.

Menurut Heyda, proses rakaman semula lagu tersebut turut dilakukan secara profesional dengan mendapatkan kebenaran rasmi daripada pihak syarikat rakaman asal sebelum produksi dijalankan.
Menerusi “Zapin Usik Mengusik 2.0”, Heyda berharap kemunculan semulanya dapat memperkenalkan kembali dirinya kepada generasi baharu peminat muzik tempatan.
“Ini seperti pengenalan semula untuk orang kenal saya. Selepas ini juga kami merancang beberapa projek dan single baharu yang akan menyusul,” katanya. – UTV



