PTPTN Salur RM36,000 Bantuan Lestari Siswa MADANI Kepada Pelajar Asnaf

KUALA LUMPUR, 16 Mac 2026 – Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional melalui Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) terus memperkukuh komitmen dalam menjaga kebajikan pelajar institusi pengajian tinggi menerusi penyaluran Bantuan Lestari Siswa MADANI kepada pelajar yang memerlukan.

Inisiatif tersebut dilaksanakan bagi membantu pelajar kurang berkemampuan meneruskan pengajian selain meringankan beban kewangan yang dihadapi sepanjang tempoh pengajian di institusi pengajian tinggi.

Penyerahan bantuan berkenaan telah disempurnakan oleh Pengerusi PTPTN, NorliZa Abdul Rahim sempena Majlis Iftar PTPTN Bersama Media.

Melalui bantuan ini, PTPTN menyalurkan sumbangan berjumlah RM36,000 kepada 72 pelajar asnaf daripada Politeknik Nilai dan Politeknik Port Dickson.

Setiap pelajar menerima RM500 secara one-off yang dikreditkan terus ke akaun bank masing-masing bagi membantu mereka menguruskan cabaran kewangan sepanjang tempoh pengajian.

Menurut Norliza, sepanjang bulan Ramadan yang mulia ini, PTPTN turut melaksanakan pelbagai program tanggungjawab sosial korporat (CSR) untuk membantu masyarakat.

Antara program yang dianjurkan termasuk Program Iman Ramadan PTPTN (IMRAN) di IPT, Program Jom Kejut Sahur, Program Raikan Syawal Bersama Anak-Anak Yatim dan Asnaf, serta Bantuan Lestari Siswa MADANI.

“Sebagai sebuah agensi yang prihatin, PTPTN komited untuk terus memperluas pelaksanaan program CSR khususnya dalam menyokong kebajikan pelajar dan memperkukuh aspek pendidikan negara,” katanya.

Dalam masa sama, PTPTN turut menghargai peranan pengamal media yang sentiasa membantu menyampaikan maklumat berkaitan inisiatif pendidikan kepada masyarakat.

Media, katanya, memainkan peranan penting dalam membentuk persepsi awam selain meningkatkan kesedaran mengenai tanggungjawab membayar balik pinjaman PTPTN serta kepentingan perancangan kewangan melalui produk simpanan pendidikan Simpan SSPN.

Sebagai peneraju tabung pendidikan tinggi negara, PTPTN terus menggalakkan budaya menabung melalui Simpan SSPN yang menawarkan pelbagai manfaat kepada pendeposit termasuk pelepasan taksiran cukai pendapatan sehingga RM8,000 setahun, perlindungan takaful, Geran Sepadan sehingga RM10,000 bagi keluarga layak, dividen kompetitif serta jaminan kerajaan dan patuh syariah.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *