AMK: Naratif PAS Mengenai Harga Minyak tersasar dari Realiti

Kenyataan Presiden PAS, Haji Abdul Hadi Awang yang mempersoalkan kenaikan harga diesel di Semenanjung bukan sahaja mengelirukan, malah mengulangi pola lama – apabila berdepan isu ekonomi yang kompleks, jawapan yang ditawarkan tetap simplistik, seolah-olah realiti dunia boleh diubah hanya dengan retorik.

Mudah untuk berkata “Malaysia ada minyak, jadi harga tidak patut naik.” Tetapi realitinya, Malaysia bukan hidup dalam ruang vakum. Kita adalah sebahagian daripada sistem tenaga global. Walaupun negara mengeluarkan minyak mentah, kita tetap mengimport produk petroleum bertapis, yang harganya ditentukan oleh pasaran antarabangsa.

Hari ini, harga minyak mentah Brent telah melepasi paras AS$100 setong. Lebih kritikal, harga diesel bertapis di pasaran global mencecah sekitar AS$200 hingga AS$250 setong. Keadaan ini didorong oleh ketegangan geopolitik, khususnya di laluan strategik seperti Selat Hormuz yang mengendalikan hampir 20% perdagangan minyak dunia menyebabkan kos insurans kapal meningkat, rantaian bekalan terganggu, dan harga melonjak untuk semua negara.

Justeru, dakwaan bahawa Malaysia tidak terkesan kerana “tidak disekat Iran” adalah tidak berasas. Pasaran tenaga dunia tidak beroperasi berdasarkan siapa yang disekat atau tidak, tetapi berdasarkan risiko, bekalan dan permintaan global. Apabila berlaku ketegangan di laluan strategik seperti Selat Hormuz, kesannya dirasai secara menyeluruh.

Jika PAS benar-benar percaya faktor global tidak relevan, maka persoalannya mudah: adakah semua negara lain di dunia juga “tersalah kira”, atau hanya PAS yang memiliki formula ajaib yang tidak diketahui oleh sesiapa?

Dalam masa yang sama, PAS cuba menimbulkan persepsi bahawa perbezaan harga diesel antara Semenanjung dan Sabah serta Sarawak adalah tidak adil. Hakikatnya, pendekatan ini mengambil kira faktor geografi, kos logistik dan struktur ekonomi tempatan yang berbeza. Dasar ini dilaksanakan selaras dengan realiti wilayah.

Malah, kerajaan telah mula mengetatkan kawalan pembelian di Sabah dan Sarawak bagi mengekang ketirisan dan penyeludupan. Namun seperti biasa, apabila sesuatu dasar memerlukan penjelasan yang lebih mendalam, PAS memilih jalan mudah – ringkaskan, politikan, dan bangkitkan kemarahan.

Ironinya, dalam masa yang sama PAS sering berbicara tentang ketirisan dan salah urus, tetapi jarang sekali mengemukakan pelan yang konkrit dan terperinci untuk menanganinya.

Kita tidak menafikan bahawa ketirisan mesti diperangi habis-habisan. Namun menjadikannya sebagai alasan tunggal untuk menafikan realiti harga global adalah satu bentuk penyederhanaan yang mengelirukan. Walaupun ketirisan berada pada tahap sifar sekalipun, harga bahan api tetap akan dipengaruhi oleh pasaran dunia.

Hakikatnya, kerajaan hari ini menanggung sekitar RM4 bilion sebulan untuk subsidi bahan api. Tanpa pendekatan bersasar, subsidi ini akan terus dinikmati secara tidak adil, termasuk oleh golongan berpendapatan tinggi dan aktiviti penyeludupan. Namun realiti ini jarang disentuh, kerana ia tidak selari dengan naratif politik yang ingin dibina.

Sebagaimana dalam Islam, keadilan menuntut amanah, bukan sahaja dalam mengurus sumber, tetapi juga dalam menyampaikan kebenaran. Firman Allah SWT dalam Surah Al-Hujurat ayat 6 mengingatkan agar setiap berita diselidiki, supaya kita tidak membina pandangan berdasarkan sangkaan atau persepsi yang tidak lengkap.

Apa yang lebih membimbangkan ialah cubaan berterusan untuk membungkus isu ekonomi dengan naratif emosi dan agama, sehingga menutup ruang perbincangan yang rasional.

Jika PAS masih memilih untuk mengulang naratif lama setiap kali berdepan isu baharu, maka yang jelas masalahnya bukan pada keadaan ekonomi, tetapi pada cara mereka memahami realiti ekonomi itu sendiri.

NADIA NAZRI
Naib Ketua Angkatan Muda KEADILAN
Malaysia

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *