PUTRAJAYA – Kementerian Digital memaklumkan lebih 3,600 permohonan tertunggak bagi program Pekerja Berpengetahuan Asing (FKW) berjaya diproses setakat 15 April 2026.
Menurut kementerian itu, isu tunggakan berlaku susulan kekangan sistem teknologi, keperluan pemprosesan manual, kekurangan tenaga kerja serta peningkatan mendadak jumlah permohonan melibatkan program FKW, De Rantau Nomad dan Program Usahawan Teknologi Malaysia (MTEP).
Bagi mengatasi masalah berkenaan, Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC) kini meneruskan baki pemprosesan dengan beberapa langkah interim termasuk penstrukturan semula aliran kerja, penempatan semula kakitangan serta penambahan sumber berkaitan.
MDEC turut membangunkan platform digital baharu yang akan menyatukan ketiga-tiga program berkenaan dengan integrasi automasi serta kecerdasan buatan (AI) bagi mempercepat proses penyampaian dan mengurangkan kebergantungan kepada proses manual.
Kementerian menjangkakan operasi pemprosesan kembali stabil sepenuhnya menjelang suku kedua tahun 2026.
Menurut kenyataan itu, kementerian komited memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai destinasi utama bakat digital global selain memastikan perkhidmatan yang lebih cekap kepada industri.



