Festival Pertukaran Budaya: Perkukuh Usaha Memelihara Warisan Asia Pasifik

MELAKA, 31 Oktober – Festival Pertukaran Budaya: Meraikan Warisan Silang Budaya 2026 menghimpunkan penyertaan enam negara dalam usaha memperkukuh hubungan silang budaya, memelihara warisan tidak ketara serta memastikan khazanah tradisi terus diwarisi generasi akan datang.

Festival yang berlangsung dari 31 Oktober hingga 1 November 2026 itu dianjurkan oleh Jabatan Warisan Negara dengan kerjasama Kerajaan Negeri Melaka, kementerian berkaitan dan Pusat Serantau bagi Latihan dan Penyelidikan Warisan Budaya Tidak Ketara di Rantau Asia Pasifik (CRIHAP) di bawah naungan UNESCO.

Bertempat di pekarangan Muzium Istana Kesultanan Melaka serta kawasan warisan sekitar Banda Hilir, festival berkenaan menyasarkan kehadiran 30,000 pengunjung sepanjang penganjurannya.

Warisan Silang Serantau
Foto: Jabatan Warisan Negara

Enam negara yang mengambil bahagian ialah Malaysia, Brunei Darussalam, Indonesia, Singapura, Thailand dan China, sekali gus membuka ruang kepada perkongsian kepelbagaian budaya, amalan tradisi serta pengalaman pemeliharaan warisan merentasi sempadan negara.

Ketua Pengarah Jabatan Warisan Negara, Mohamad Muda bin Bahadin

Ketua Pengarah Jabatan Warisan Negara, Mohamad Muda bin Bahadin berkata, festival itu menjadi platform untuk negara-negara yang berkongsi pencalonan warisan budaya bersama Malaysia bertukar pengetahuan dan pengalaman dalam usaha melindungi serta memelihara warisan berkenaan.

Menurutnya, antara warisan yang diketengahkan ialah Upacara Wangkang yang melibatkan Malaysia dan China, pantun yang dikongsi Malaysia, Indonesia dan Brunei Darussalam, selain seni tarian singa.

Perkongsian itu penting bagi memperkukuh kerjasama antarabangsa, khususnya dalam pembangunan pelan pemeliharaan warisan supaya tradisi berkenaan terus diamalkan dan diwariskan kepada generasi seterusnya.

Pemilihan Melaka sebagai lokasi penganjuran turut mencerminkan kekayaan warisan budaya negeri bersejarah itu, termasuk Dondang Sayang, pantun dan Wangkang yang menjadi sebahagian daripada khazanah budaya masyarakat setempat.

Pelbagai jenis kebaya dari enam negara

Dalam usaha memastikan kelangsungan warisan budaya, Jabatan Warisan Negara turut bekerjasama dengan komuniti, pertubuhan bukan kerajaan serta institusi pendidikan bagi meningkatkan kesedaran dan menggalakkan penyertaan golongan muda melalui aktiviti bersama pelajar serta sesi libat urus.

Sementara itu, ucaptama pada Majlis Perasmian Bengkel Antarabangsa Mengenai Perlindungan Warisan Kebudayaan Tidak Ketara disampaikan oleh Pengurus Besar George Town World Heritage Incorporated (GTWHI), Dr. Ang Ming Chee, yang juga Fasilitator Bertauliah Konvensyen Warisan Budaya Tidak Ketara UNESCO dari Malaysia.


Pengurus Besar George Town World Heritage Incorporated (GTWHI), Dr. Ang Ming Chee

Beliau menekankan kepentingan melindungi warisan budaya tidak ketara yang hidup dalam komuniti, selain menggalakkan golongan muda, khususnya mereka berusia bawah 30 tahun, diberikan lebih banyak peluang dan kepercayaan untuk terlibat secara aktif dalam usaha pemeliharaan warisan.

Penglibatan generasi muda dilihat penting bagi memastikan tradisi bukan sekadar menjadi peninggalan sejarah, sebaliknya terus diamalkan dan kekal relevan dalam kehidupan masyarakat masa kini.

Foto: Jabatan Warisan Negara

Festival berkenaan turut menampilkan pelbagai pengisian menarik, termasuk persembahan kesenian tradisional seperti gamelan, Mek Mulung, Mak Yong dan wayang kulit, selain Dondang Sayang, Chingay serta tarian singa.

Pengunjung juga berpeluang menyertai pameran dan bengkel berkaitan Upacara Wangkang, pantun dan kebaya, selain menyaksikan demonstrasi pembuatan kraf tradisional seperti wau dan kasut manik.

Antara acara tumpuan ialah Perarakan Warisan yang mengetengahkan kepelbagaian etnik dan budaya, di samping aktiviti sukan rakyat seperti pertandingan konda-kondi dan dam aji yang memberi peluang kepada pengunjung mengenali serta mencuba permainan tradisional.

Antara aktiviti-aktiviti Festival Pertukaran Budaya di Banda Hilir, Melaka

Selain persembahan dan demonstrasi, festival itu turut menyediakan seminar, konvensyen dan pameran makanan warisan bagi memperluas pengetahuan masyarakat tentang persamaan serta keunikan budaya serantau.

Orang ramai dijemput mengunjungi Festival Pertukaran Budaya: Meraikan Warisan Silang Budaya 2026 di sekitar Banda Hilir, Melaka, sehingga 1 November ini bagi menikmati pelbagai aktiviti kebudayaan serta menyokong usaha memelihara warisan untuk generasi akan datang. – UTV

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *