DAP hanya menjadi ‘boneka bisu’ isu pengampunan Najib Razak dan siasatan polis terhadap Tony Pua.
KENYATAAN MEDIA
Pemimpin Pakatan Harapan terutamanya DAP hanya menjadi ‘boneka bisu’ berhubung isu pengampunan Najib Razak dan siasatan polis terhadap Tony Pua.
Saya ingin menasihatkan kepada DAP jangan hanya bising semasa menjadi pembangkang dan sebaliknya berdiam diri apabila sudah menduduki kerajaan dan ada jawatan.
Sikap sebegini sangat memalukan, walhal sebelum ini pemimpin Pakatan Harapan terutamanya DAP antara yang banyak menghasut rakyat dan menjadikan isu 1MDB dan label kleptokrasi sebagai modal kempen pada pilihan raya umum 2018 dan 2022. Mana perginya suara-suara bising Lim Guan Eng dan Lim Kit Siang? Adakah Lim Kit Siang lupa ‘kata laluan’ untuk blog dia?
Dimanakah pendirian pemimpin DAP, apabila Anothony Loke yang merupakan Setiausaha Agung mengeluarkan kenyataan meminta bertenang dan menggesa akar umbi tidak mengkritik pengampunan tersebut, ia sangat-sangat memalukan!
Saya berasa hairan, adakah mereka ini berubah 180 darjah kerana takut kehilangan jawatan sehingga sanggup menggadaikan prinsip dan maruah serta abaikan janji kepada pengundi?
Paling ketara, Akta Hasutan kini telah dikembalikan oleh pihak kerajaan terhadap pesaing politik Kerajaan.
Perkara ini amat dahsyat kerana ia berlaku di bawah kerajaan yang diketuai Pakatan Harapan yang ketika menjadi pembangkang mengutuk penggunaannya dan menyifatkan Akta Hasutan menindas dan menghina kebebasan bersuara. Apabila mereka menjadi Kerajaan, Pakatan Harapan termasuk DAP tidak ragu-ragu untuk menggunakannya ke atas rakyat!
LOH KAH YONG
SETIAUSAHA AGONG
GERAKAN