PUTRAJAYA, 23 Januari 2026 – Malaysia mengukuhkan komitmen membangunkan ekonomi digital yang mampan, inklusif dan bersedia masa depan menerusi penglibatan strategik di Mesyuarat Tahunan Forum Ekonomi Dunia (WEF) 2026 di Davos.
Penglibatan itu diketuai Menteri Digital, YB Gobind Singh Deo, sekali gus mencerminkan peranan Malaysia yang semakin penting dalam membentuk agenda global berkaitan pembangunan digital mampan, selari dengan Kerangka Ekonomi MADANI.

Malaysia menegaskan bahawa aspirasi menjadi Negara AI di bawah RMK13 memerlukan lebih daripada sekadar penggunaan teknologi, sebaliknya disokong oleh rangka perundangan, peraturan serta institusi baharu. Antara langkah utama ialah cadangan penubuhan Suruhanjaya Data, bagi memastikan penggunaan data yang selamat, beretika dan bertanggungjawab merangkumi teknologi seperti kecerdasan buatan (AI), kuantum dan rantaian blok.
Malaysia turut menekankan kepentingan AI memberikan impak sebenar kepada masyarakat, termasuk dari aspek keadilan, akses dan kemampuan. Kerjasama global diseru bagi memastikan teknologi AI yang kos efektif dan bertanggungjawab dapat dimanfaatkan oleh negara membangun dan Global South, agar tiada negara tercicir dalam gelombang kemajuan digital.
Dalam masa sama, Malaysia dan WEF meneroka konsep kedutaan digital, dengan rangka kerja dijangka diterbitkan pada April ini, sebagai usaha memperkukuh kepercayaan, daya tahan dan kedaulatan dalam ruang digital.
Malaysia juga memajukan kerjasama dalam Kluster Industri Peralihan (TIC), termasuk pelancaran TIC pertama negara di Sarawak pada Jun 2026, yang bertujuan mempercepat penyahkarbonan, penciptaan pekerjaan dan pertumbuhan ekonomi melalui kerjasama pelbagai pihak.
Ke hadapan, Malaysia dan WEF akan terus bekerjasama bagi berkongsi amalan terbaik transformasi digital, khususnya dalam meningkatkan produktiviti, perkhidmatan awam dan pembangunan mampan di peringkat nasional, serantau dan global.



