Isu harga siling komoditi getah dibawa ke mesyuarat kabinet, esok -Mahdzir Khalid
CHANGLUN: Isu masalah harga siling komoditi getah yang membelenggu penoreh getah dan pekebun kecil pada masa ini akan dibawa ke mesyuarat kabinet, esok.
Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, kementeriannya akan mengemukakan hasil perbincangan di antara kementerian beliau dan Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi yang berlangsung pada Isnin lalu kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Yaakob sebelum dibawa ke kabinet. Tegas beliau, perkara yang sedemikian perlu dimuktamadkan secepat mungkin.
“Saya fikir perkara ini iaitu membela nasib pekebun dan penoreh getah perlu dilaksanakan segera. Esok kita akan kemukakan kepada perdana menteri beberapa pilihan yang ada. Perkara itu kemudiannya akan dibawa ke mesyuarat Kabinet pada Rabu dan keputusan rasmi, biarlah Kabinet yang putuskan,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Program Universiti Utara Malaysia UUM Membina Kesejahteraan Rakyat MEKAR 2022 di kampus UUM Sintok.
Jelasnya lagi, kerajaan beri jaminan bahawa akan ada solusi bagi membantu penoreh getah dan pekebun kecil dalam mengatasi kemelut harga yang dialami golongan ini.
“Saya bagi jaminan ada benda yang sedang dibincangkan oleh kerajaan bagi melihat bagaimana cara untuk membantu pekebun kecil dan penoreh getah.
“Kadang-kadang kita terlepas pandang golongan penoreh dan hanya nampak pekebun kecil yang merupakan pemilik tanah semata-mata. Dalam hal ini, kena tolong dua-dua,” katanya.
Dalam pada itu, Datuk Seri Mahdzir Khalid turut merasmikan Program Membina Kesejahteraan Rakyat (MEKAR) 2022 anjuran Universiti Utara Malaysia (UUM) dengan kerjasama Penglibatan Ibu bapa, Komuniti dan Pihak Swasta (PIBKS) Kedah dan Jabatan Pendidikan Negeri. Tujuan program ini diadakan adalah sebagai wadah untuk memperkasakan komuniti di negeri ini menerusi pendidikan.
Turut hadir, Naib Canselor UUM, Profesor Haim Hilman Abdullah serta Pengerusi Penglibatan Ibu Bapa, Komuniti dan Pihak Swasta (PIBKS) Negeri Kedah, Zainol Abidin Mohamad.