MYANGKASA HOLDINGS SDN. BHD. PELENGKAP KECEMERLANGAN KOPERASI

  • January 28, 2023
  • 3 min read
MYANGKASA HOLDINGS SDN. BHD. PELENGKAP KECEMERLANGAN KOPERASI

ANGKASA bertanggungjawab merangsang kecemerlangan gerakan koperasi dengan mempelopori dan memperkasa jaringan serta rantaian nilai perniagaan koperasi melalui sektor-sektor peneraju.

“Kolaborasi ini penting agar matlamat penguasaan rantaian nilai perniagaan secara tuntas oleh koperasi dapat dicapai. Oleh yang demikian, keberadaan MyAngkasa Holdings Sdn Bhd (MHSB) dan semua anak syarikat anak ANGKASA merupakan teras dalam melengkapi ekosistem ini.”

Demikian petikan ucapan Presiden ANGKASA merangkap Pengerusi Lembaga Pengarah MHSB, Datuk Seri Dr. Abdul Fattah Abdullah sewaktu merasmikan Majlis Makan Malam Penghargaan Syarikat Bersekutu, Anak Syarikat dan Rakan Niaga MyANGKASA Holdings Sdn Bhd yang berlangsung pada 29 Januari 2023 di Hotel Summit, Petaling Jaya.

Menurutnya, usaha penubuhan anak syarikat oleh ANGKASA pada tahun 2012 bertujuan untuk membantu ANGKASA dan gerakan koperasi menceburi bidang perniagaan baharu yang boleh meningkatkan pendapatan dan memberikan manfaat menyeluruh kepada semua masyarakat khususnya koperasi dan anggotannya.

“Pelbagai transformasi telah dijalankan oleh ANGKASA bersama gerakan koperasi melalui keterlibatan dalam pelbagai sektor yang dahulunya amat jarang kita dengar diceburi oleh koperasi. Ini kerana kita mengambil pendekatan untuk sentiasa beradaptasi dengan situasi ekonomi semasa bagi memastikan gerakan koperasi kekal relevan merentasi zaman.

“Sudah banyak usaha yang digerakkan oleh ANGKASA serta anak syarikat dalam mencari penyelesaian kepada masalah kos sara hidup lebih-lebih lagi pada era pandemik dan pasca pandemik Covid-19 sebagai contoh Projek Brang Asas 100 (BA100), Projek Ternakan Lembu Tenusu dan Heifers Park, pembekalan barangan kesihatan berpusat dan lain-lain,” katanya.

Tambahnya, banyak lagi projek-projek yang telah dijayakan oleh ANGKASA dan anak syarikat melalui kerjasama dengan pemegang taruh, baik dalam sektor koperasi mahupun swasta supaya peranan koperasi dalam sektor keberhasilan utama dapat memberikan impak semaksimum mungkin kepada rantaian perniagaan dan sektor itu sendiri.

“ANGKASA akan sentiasa menyokong usaha anak syarikat bersama syarikat bersekutu dan rakan niaga lainnya dalam usaha memperkasakan sektor koperasi. Ini secara tidak langsung memberi sumbangan berkesan kepada komuniti dan menyumbang kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara.

Dalam majlis sama, MHSB turut menyampaikan plak penghargaan kepada koperasi untuk ‘Top Achiever’ Tawarruq, plak penghargaan kepada syarikat bersekutu dan penyerahan cek bayaran dividen MHSB sebanyak RM326,347.83 kepada ANGKASA bagi tahun 2022.

Hadir sama dalam majlis tersebut ialah Anggota-Anggota Lembaga ANGKASA merangkap Lembaga Pengarah MHSB; Dato’ Haji Kamarudin Ismail dan Datuk Haji Mohamad Ali Hasan, Anggota-Anggota Lembaga ANGKASA; Dr. Haji Mohd Azlan Yahya dan Dato’ Haji Che Mohd Shukree Che Isa, Setiausaha Bahagian Pembangunan Koperasi, Penjaja dan Peniaga Kecil, Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) merangkap Anggota Lembaga ANGKASA, Encik Azizul Alias, Anggota-Anggota Lembaga Pengarah MHSB; Tuan Haji Nasir Khan Yahaya, Encik Mohd Zaid Abdul Jalil, Encik S. Ahlaimuniandy, Pengerusi JPAN Selangor, Dato’ Haji Mohd Alias Hamzah, Pengerusi Jawatankuasa Audit Dalaman ANGKASA, Tuan Haji Zaharuddin Alias dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan ANGKASA merangkap Pengarah Eksekutif MHSB, Dato’ Haji Abdullah Haji Jusoh.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *