YB DATUK AARON AGO DAGANG
MENTERI PERPADUAN NEGARA
20 Februari 2026
Tanggal 20 Februari 1956 bukan sekadar satu catatan dalam sejarah
negara. Ia merupakan detik kebangkitan sebuah negara bangsa, saat
harapan seluruh rakyat disatukan dan titik mula perjalanan menuju
kemerdekaan yang sebenar.
Pada tarikh inilah, sekembalinya
Rombongan Merdeka dari London, Almarhum Tunku Abdul Rahman
Putra Al-Haj telah mengumumkan kepada rakyat tarikh kemerdekaan
Persekutuan Tanah Melayu.
Peristiwa bersejarah ini membuktikan bahawa kemerdekaan tidak lahir
dengan mudah. Ia dibina melalui rundingan yang penuh kebijaksanaan,
semangat toleransi, pengorbanan yang besar serta perpaduan rakyat
berbilang kaum. Kesepakatan yang dicapai ketika itu menjadi asas
kukuh kepada pembentukan negara bangsa yang merdeka, berdaulat
dan dihormati.
Sejarah ialah kompas masa depan dan rujukan penting dalam
pembinaan negara. Melalui sejarah, kita memahami akar perjuangan,
mengenali nilai yang membentuk identiti nasional dan menyedari harga
sebenar sebuah kemerdekaan. Dengan kefahaman sejarah yang
mendalam, generasi hari ini akan lebih berarah, berprinsip dan sentiasa
berpaksikan jati diri kebangsaan dalam mendepani cabaran semasa
serta membina masa depan negara.
Kerajaan MADANI tepat pada masanya mengangkat semula martabat
sejarah negara dengan memperkukuh pendidikan sejarah melalui
Rancangan Pendidikan Negara serta memastikan generasi muda
memahami erti sebenar kemerdekaan dan tanggungjawab sebagai
warganegara. Usaha ini bukan sekadar memperkaya pengetahuan,
tetapi membina kesedaran sivik dan semangat patriotisme Tahun lalu, Kementerian Perpaduan Negara telah menubuhkan Majlis
Sejarawan Negara buat julung kalinya sebagai wadah menghimpunkan
kepakaran, memelihara naratif sejarah yang sahih serta memastikan
sejarah negara terus hidup dalam jiwa rakyat.
Kementerian melalui Arkib
Negara Malaysia dan Jabatan Muzium Malaysia akan terus
memperkukuh usaha pemeliharaan, pendokumentasian dan
penghayatan sejarah agar khazanah negara terus terpelihara dan dapat
diwariskan kepada generasi akan datang.
Segala usaha ini merupakan sebahagian daripada ikhtiar berterusan
untuk membina perpaduan berteraskan kesedaran sejarah dan
penghayatan nilai kenegaraan. Sesungguhnya, sejarah adalah akar
kepada perpaduan, dan perpaduan adalah benteng kepada
kelangsungan negara.
Marilah kita bersama-sama mengenang sejarah, menghargai perjuangan para negarawan dan memperkukuh tekad untuk membina Malaysia yang bersatu, harmoni dan berdaya tahan demi generasi hari
ini serta masa hadapan.



