Kajang – Kumpulan Syarikat Ehsan (EGC) meneruskan komitmen tanggungjawab sosial korporat (CSR) dengan menganjurkan Majlis Iftar Perdana Ehsan dan Sumbangan Zakat Aidilfitri 2026 di Masjid India Kajang.
Program tersebut menyasarkan 5,000 penerima bantuan sepanjang bulan Ramadan, melibatkan golongan memerlukan termasuk anak yatim, asnaf dan pelajar tahfiz dari sekitar Selangor dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.
Inisiatif berkenaan merangkumi sumbangan zakat, duit raya serta tajaan juadah berbuka puasa, selain penyampaian bantuan keperluan asas seperti beras dan cek sumbangan kepada penerima.
Majlis yang turut mendapat kerjasama Kongres India Muslim Malaysia (KIMMA) itu menampilkan tazkirah khas oleh pendakwah jemputan dari Chennai, India, Ustaz Mohammed Ismail Manbaye.
Pengasas EGC merangkap Pengerusi Masjid India Kajang, Dato’ Haji Abdul Hamid PV Abdu, berkata sebahagian keuntungan syarikat wajar dikongsi bersama golongan kurang berkemampuan sebagai usaha membantu mereka yang memerlukan.
Turut hadir beberapa tokoh korporat dan ahli perniagaan, termasuk Pengerusi Eksekutif Lembaga Pengarah MAHSA Sdn. Bhd., Prof Tan Sri Datuk Dr Haji Mohamed Haniffa Haji Abdullah serta pengasas rangkaian restoran Ali Maju, Dato’ Jawahar Ali.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kajang, Cheong Kian Young, turut hadir beramah mesra dengan para penerima serta menyempurnakan penyampaian sumbangan pada majlis berkenaan.



